KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju tindakan menyalahkan orang Melayu dan anak muda kerana terpengaruh dalam sentimen politik berasaskan kaum dan agama di media sosial.

Sebaliknya, beliau menegaskan, itu merupakan satu cabaran kepada jentera parti PH untuk menyantuni golongan itu dengan lebih baik bagi memberi penjelasan kepada mereka.

"Ini mengambil masa, saya tidak setuju sesetangah pihak menyalahkan orang Melayu, menyalahkan kefahaman mereka bahawa mereka itu mudah terpengaruh dengan hasutan kaum dan agama dan menakut-nakutkan Cina dan DAP.

"Ini satu cabaran untuk kita cuba menyantuni dan jelaskan kepada mereka. Kerana dia mudah, "kalau PH menang DAP dan Cina berkuasa, habis negeri kita, habis rakyat" itu kenyataan satu minit Tiktok yang mungkin meyakinkan dia.

"Saya tahu tidak benar dan saya tidak akan salahkan kerana ia mengambil masa. Madani satu konsep yang menyeluruh dan dia tak nampak serta tidak tahu yang dia sokong itu kadang-kadang orang-orang kaya ratusan juta ringgit," katanya ketika ditemui pemberita di ibu negara, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, menjadi tanggungjawab jentera untuk bekerja lebih keras bagi menterjemahkan dasar Madani.

Jelasnya, ia sesuatu perkara yang mengambil masa untuk dijelaskan kepada orang Melayu dan anak muda.

"Kita harus cuba selesaikan dengan menyantuni rakyat, dengan hikmah, kebijaksanaan dan keyakinan.

"Ini saya tegaskan dalam mesyuarat jemaah menteri semalam... jalankan keja dengan ikhlas, mustahil ditolak kerana keikhlasan dan kerana sikap keras menolak rasuah..," tegas beliau lagi.